Wednesday, 26 March 2014, 21:53:00
Hamasah
Hari itu Perempuan Berbaju Coklat meneruskan rutin paginya seperti biasa.
Bergerak ke tempat kerja sebelum pukul 7 lagi, melintasi jalan sesak dengan ketelitian tinggi.
Hari hari suasananya sama. Cumanya hari itu, Perempuan Berbaju Coklat 'menegur' suasana itu dengan suara dan riak muka.
Perempuan Berbaju Coklat selama ini tidak senang mendengar hal hal tidak jelas yang sedang diperkatakan, dia memilih untuk diam. Perempuan Berbaju Coklat hari itu tidak senang melihat adab adab sebagai seorang Islam yang sedang menghilang, dan kali ini diam dia tidak lama. Dahinya mula berkerut. Orang itu dipanggil, dan Perempuan Berbaju Coklat 'menegur' sikapnya, dan mencadangkan sesuatu.
Perempuan Berbaju Coklat sangat tidak senang akan sikapnya. Ya, dari riak muka menunjukkan dia sangat marah. Tambah pula adab adab sebagai seorang Islam yang sedang menghilang pada diri orang itu turut sama diperhatikan oleh non muslim.
Ini lagi lagi menambah marahnya. Dikhuatiri sikap beginilah yang boleh membawa fitnah kepada Islam.
Panas.
Perempuan Berbaju Coklat selesai sahaja menunaikan tanggungjawabnya, dia segera beredar dari tempat itu. Dia cuba rasionalkan kembali fikirannya dengan ketawa semasa menaiki tangga ke rumah sewa.
Apa kira dia benar benar 'menegur' kerana Allah, atau kerana marah. Dia sendiri mentertawakan dirinya.
Sampai di rumah. Seorang.
Perempuan Berbaju Coklat segera mengecas phonenya. Ada nombor yang dia perlu hubungi, dan ada suara yang dia perlu dengar.
Melihat pada keadaan dirinya yang keliru, emosi yang tidak stabil. Maka saat ini Perempuan Berbaju Coklat memang perlukan orang orang yang akan mampu merasionalkan dirinya kembali.
Sebelum itu,
dia semak sebentar mesej mesej dalam whatsApp. Ada grup akhawat berbincang mengenai speaker projek, grup usrah pula bertanyakan kehadiran boleh pergi/tidak ke daurah, ada usrahmate menyatakan sungguh sungguh bahawa dia mahu hantarkan ke pejabat IS, dan ada juga sahabat fillah yang meminta pandangan mengenai kad wangi walimatulurus beliau.
Dirinya tidak dapat menjiwai mesej mesej yang dibaca.
Call-me-back.
Tak sampai seminit, Lelaki Perkasa itu menelefonnya bertanyakan kenapa. Ya, ini antara suara yang dia perlu dengar pada saat saat begini. Walau tahu Lelaki Perkasa sedang bekerja, masanya terhad.
" Kerja ke..? "
Soalan kurang cerdik yang ditanya, maka jawapannya..
" Ya la, kerja. Hang ingat dok goyang kaki ka.. "
Dijawabnya bersahaja. Sudah menjangkakan jawapannya seperti itu, maka Perempuan Berbaju Coklat terlebih dahulu ketawa.
Atas ketiadaan kredit, Perempuan Berbaju Coklat meminta Lelaki Perkasa itu menelefon Wanita Anggun, dan menyuruh Wanita Anggun tersebut menelefon pula anak keduanya.
" Ada hal apa..? "
" Takda apa. Saja je.. "
" Kalau saja, takyah. Habis kredit ja. Kalau ada hal baru boleh. "
" Ok la ok la. Ada hal. "
Bijak Lelaki Perkasa ini menyantuni fitrah Perempuan Berbaju Coklat, secara tidak langsung dia berjaya 'memancing' situasi hati yang dialami Perempuan Berbaju Coklat. Dia tidak terus bertanyakan apa halnya, sebaliknya segera menghantar seseorang yang dihajatkan itu untuk mendengar.
Dan setelah itu, pastinya seseorang itu akan menceritakan apa hal tersebut kepadanya, tanpa perlu dia bertanya. Dan mendengar secara langsung dari seorang pendengar itu lebih memudahkan dirinya menawarkan solusi.
Sama juga, tak sampai beberapa minit Lelaki Perkasa meletakkan phone.. tertera pula di skrin no telefon rumah Wanita Anggun.
Perempuan Berbaju Coklat menjawab panggilan itu, ceria. Dia tidak berhajat untuk menceritakan apa halnya, sekadar memenuhi tuntutan fitrahnya yang mahu mendengar suara.
Mereka berbual, sesekali tertawa. Perempuan Berbaju Coklat menanyakan perihal Putera Bongsu, Wanita Anggun menceritakannya gembira.
Perempuan Berbaju Coklat menunjukkan minatnya untuk ambil tahu, sehinggalah Wanita Anggun membuat anggapan oh sebenarnya cuma inilah halnya. Ya, Perempuan Berbaju Coklat berjaya sembunyikan rasa. Bagi mengukuhkan lagi anggapan itu, dia meminta pula untuk bercakap dengan Putera Bongsu,
" Tidur ke tadi..? "
" Hm.. "
" Ajar Ikhwan ke? "
" Hm.. "
Cuba untuk tidak mendengar jawapan hmm sahaja, maka Perempuan Berbaju Coklat mengkreatifkan soalannya.
" Ajar dia apa? "
" Niat solat.. "
" Rindu tak? "
" Hm.. "
" Rindu siapa? "
" Kak Ngah.. "
Perempuan Berbaju Coklat ketawa berdekah-dekah mendengar suara mamai Putera Bongsu itu.
Setelah itu panggilan dikembalikan semula kepada Wanita Anggun. Dengan ketawa yang masih lagi berbaki, Wanita Anggun memulakan perbualan, bertanyakan kepada Perempuan Berbaju Coklat bagaimana keadaannya hari ini.
Ya, Wanita Anggun bertanyakan bagaimana.
Senyap beberapa saat. Kemudian,
" Doa'kan kak Ngah kuat.. "
Serentak dengan itu air matanya meluncur laju. Yang disembunyikan tadi, tidak lagi boleh terus sembunyi.
" Awat, selama ni ang lemah ka? .. "
Perempuan Berbaju Coklat merespon soalan itu dengan esakan tangisnya.
" Hang ingat tarbiah ni boleh duduk diam gitu ka?
Memang kena masuk dalam kelompok tu, dan ubah. Suasana hang lain, depa lain. Sebab itu Allah bagi ujian ni.
Nak tegur orang tua jangan buat muka. Sambil dok bergurau tu, tegur tegur la.
Belajar lagi ilmu dalaman, cari guru.
Ini perkara kecil ja. Sikit ja ujian Allah bagi ni, yang hang dok menangis kenapa. "
Tertawa sedikit mendengar beberapa ayat yang dituturkan Wanita Anggun itu, ya kenapa menangis?
Seakan apa yang sebelum ini pernah dicakapkan oleh Perempuan Berbaju Coklat, diingatkan semula oleh Wanita Anggun.
Ternyata, keperluan mendengar suara suara ini sangat relevan.
Sedang dalam cubaan merasionalkan emosi, Perempuan Berbaju Coklat pergi ke dapur dan menggoreng kentang.
Beberapa ketika menjengah waktu asar. Pergi pula dia menunaikan tanggungjawab antara Hamba dengan Tuhan.
Selesai itu, dia menyambung sedikit bacaan Al-Qurannya semalam, surah al Furqan.
Tidak menjangkakan pada waktu asar itu dia akan baca dan menjumpai ayat ini,
" Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan Salaam. " 25:63
Sekali lagi, air mata Perempuan Berbaju Coklat meluncur laju.
Sangat indah akhlak manusia yang digambarkan Tuhan dalam ayat ini, akhlak sebenar-benar Hamba.
Perempuan Berbaju Coklat merasainya dengan hati, apakah Allah sedang memujuk hatinya yang berduka? Atau Allah sedang memberi tamparan pada hatinya yang hampir berputus asa?
Kedua-duanya, boleh jadi ya.
Pastinya, Allah sedang membandingkan dirinya yang tadi dengan gambaran akhlak sebenar-benar Hamba yang sedang dia baca sekarang.
Kemudian melihat makna pada ayat seterusnya, menjadi penenang kepada hati Perempuan Berbaju Coklat.
Inilah putaran hidup Perempuan Berbaju Coklat untuk hari ini. Semoga Allah merahmati kita semua.
Semoga Allah memberikan HidayahNya, dan semoga Allah tidak memalingkan hati kita setelah diberikan petunjuk.
Aameen.
Oh ya sekitar jam 1752, Lelaki Perkasa menelefon semula Perempuan Berbaju Coklat. Ternyata benar dia menawarkan solusi, Wanita Anggun menjadi wakilnya menyampaikan,
ada kerja kosong di.. (disebutkan nama pejabat sebuah NGO yang terkenal dengan suasana dakwah dan tarbiah itu)
Malangnya, ayat ayat Allah tidak pernah tidak memberikan semangat baru pada hati HambaNya.
***
Ditulis,
260314 | pepetang, sambung selepas maghrib ke 2106 | Serdang
Haza min fadhli Rabbi.
|