Monday, 6 June 2011, 13:24:00
Cerpen : Mahalkah Aku?
‘’ Tiada manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa. Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak kecil. Perempuan adalah pemegang masa hadapan dunia ! Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan ! Sekiranya kita membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka sama sahaja dengan kita membiarkan masa hadapan dunia hancur, gelap, kelam dan hitam..’’ Para jemaah semakin tekun mendengar tazkirah pada malam itu. Masing-masing menganggukkan kepala, mengiyakan apa yang di kata.
Imam Besar Masjid Al-Aziz itu menyambung tazkirahnya, ‘’Kerana itu, perempuan ini tersangatlah berharga dalam jiwa saya..’’ Bicaranya lembut sambil menjeling ke arah Huda yang duduk di sudut belakang. Sedar dirinya di perhatikan suami tercinta, Huda tertunduk malu.
Hatinya berbunga. Huda tahu suaminya sangat menyayangi dirinya. Dia sedar akan tanggungjawabnya bukan sahaja kepada suami bahkan dia juga bertanggungjawab kepada amanah yang di berikan oleh Allah kelak. Huda membelai manja perutnya.
Matanya tertumpu pada suaminya yang sedang rancak berbual dengan ‘Ammar Zulkarnain.
Entah apa yang di bualkan mereka. Terkadang ketawa, terkadang riak wajah mereka serius. Begitulah selalunya keadaan mereka apabila bertemu. Walaupun ‘Ammar lebih muda dari suaminya namun itu tidak merenggangkan ukhuwah mereka. Keakraban mereka itu sangat unik dan menyenangkan.
***
Handphone berdering. Dalam keadaan mamai, handphone berwarna pink yang terletak di atas meja belajar itu di capainya. Sambil menggosok-gosokkan mata, Huda membelek handphone di tangannya.
‘’ Salam enti.. Qiam =) ‘’ Satu mesej ringkas dari Ustaz Mukhriz menyegarkan mata Huda yang tadinya mengantuk. Lantas dia duduk di atas katilnya. Menggeliat.
‘’ Syukran enta.. :-)’’ Huda membalas ringkas mesej tadi. Lantas, dia bangun sambil tersenyum sendiri.
Ustaz Mukhriz yang di kenalinya sejak 5 bulan dahulu, benar-benar telah mengubah dirinya. Huda kini menjadikan qiamulail sebagai ibadah wajibnya yang mana dulu dirinya agak sukar untuk melakukan itu.
Hafiz Mukhriz adalah seorang mahasiswa yang sangat aktif dalam medan dakwah di kampusnya. Seorang yang tidak lekang dengan songkok di kepala dan berjubah, kerana itu jugalah dia di gelar Ustaz Muhkriz. Ustaz paling muda di kampus. Ada juga yang memanggilnya Imam Muda Mukhriz, dan macam-macam lagi panggilan yang menyenangkan.
Raut wajah yang tampan hasil kacukan Turki dan Pakistan menjadi bonus buatnya. Ada saja perempuan yang ingin mendekati. Tidak kurang juga ibu-ibu yang sibuk mengatur anak perempuan masing-masing untuk di berikan kepada Ustaz Mukhriz sebagai isteri.
Dalam bilangan yang ramai itu, Huda yang di pilihnya sebagai calon isteri. Kerana itu, Huda merasakan dirinya sangat bertuah dan beruntung sekali.
‘’ Aku tengok kau sekarang ni dah banyak berubah.. dah tak bergayut dengan mamat pekan tu lagi. Selalu bangun solat malam.’’ kata Khaulah, rakan sebilik Huda yang juga sahabatnya.
‘’ Semua ni sebab Ustaz Muhriz la.. kalau Allah tak temukan aku dengan dia, kau takkan tengok aku macam ni tau.. aku sekarang ni dah jadi Ustazah Huda.’’ balas Huda sambil membetulkan tudung di kepalanya. Sedang bersiap-siap untuk ke kuliah. Khaulah tersenyum kosong. Dia sebenarnya tidak senang dengan hubungan sahabatnya itu.
‘’ Huda.. aku rasa baik kau putuskan hubungan dengan Ustaz Mukhriz. Kau sendiri tahu kan, couple itu sama seperti menghampiri zina. Dan, menghampiri zina itu hukumnya haram. Aku rasa kau lebih tahu dari aku kan?’’ Khaulah bersuara menyatakan rasa tidak senangnya kepada Huda.
‘’ Siapa kata kitaorang couple?.... ‘’ Huda tergelak kecil. Dia memandang Khaulah, dan menyambung katanya. ‘’ Khaulah.. aku tahu jaga diri aku. Aku tahu bataskan diri aku dengan dia. Kitaorang bila berbual pun, bukannya bual kosong. Dia banyak ingatkan aku, bagi nasihat dekat aku. Kalau tak kerana dia, aku takkan berubah macam ni tau...’’ kata Huda sambil memegang bahu Khaulah. Khaulah tetap juga tidak puas hati. Entah mengapa dia merasakan ada silap besar dalam hubungan sahabatnya itu.
‘’ Tapi, kau dengan dia masih lagi haram berhubungan. Dalam Islam, jelas menyuruh lelaki dan perempuan menjaga ikhtilat. Jaga ikhtilat ya sahabatku...’’ kata Khaulah dalam nada merayu. Dia cuba menasihati Huda yang juga kenalannya sejak mereka di bangku sekolah lagi. Segala rahsia Huda, ada dalam genggamannya. Segala aib sahabatnya itu di tutup serapat-rapatnya. Itulah Khaulah Afifah, seorang sahabat yang sangat mulia hatinya.
Huda memandang tepat mata Khaulah. Dia tahu sahabatnya itu resah dengan hubungannya dengan Ustaz Mukhriz.
‘’ Khaulah, memang hubungan antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin itu haram. Tetapi, tidak pada hubungan yang menjuruskan ke arah perkahwinan. Ustaz Mukhriz dah janji nak ambil aku jadi isteri dia.. 3 tahun lagi dia datang lamar. Masa itu aku dah tamat belajar, dia pulak dah bekerja. Jadinya sekarang, hubungan kitaorang ni tak salah sebab ianya ke arah pernikahan.’’ Huda berkata dengan sedikit tinggi suaranya. Dia cuba meyakinkan sahabatnya itu.
Sekali lagi, Khaulah tersenyum kosong. Dia sudah tahu Huda akan tetap mempertahankan hubungannya itu. Berkali-kali dia telah cuba menyedarkan sahabatnya itu, namun Huda tetap juga tidak mahu mendengarnya.
‘’Hubungan antara lelaki dan perempuan yang menjurus ke arah pernikahan itu harus’’ Khaulah masih teringat kata-kata Huda kepadanya suatu masa dahulu.
***
‘’ Ustaz ke bukan ustaz ke sama je.. bila berjanji tu, yang manis-manis saja. Bila kita tuntut, habuk pun tak dapat ! ‘’ Huda menghempas handphonenya ke lantai. Dia cuba menghubungi Ustaz Mukhriz berkali-kali, namun tidak pernah di angkatnya. Mesej juga tidak di balas.
Hatinya bertambah sakit apabila mendapat tahu Ustaz Mukhriz telah bertunang sejurus selepas 2 bulan pengajiannya tamat. Bertambah parahlah keadaan Huda yang ketika itu masih lagi dalam pengajiannya di Tahun 2. Emosinya terganggu dan hilang fokusnya untuk belajar. Ibarat bini mati laki.
‘’ Kau tak boleh salahkan Ustaz Mukhriz. Soal jodoh ni Allah yang aturkan.. Kau kena terima ketentuan Allah ni, Huda. Kau kena kuat. ‘’ Khaulah memicit-micit bahu Huda, cuba memujuk sahabatnya yang kecewa itu.
‘’ Aku boleh terima ketentuan Allah ni.. aku tak kisah pun kalau bukan dia jodoh aku. Aku pun tak nak la orang kuat menipu macam dia. Janji nak kahwin dengan aku, tapi senyap-senyap dia pergi bertunang dengan orang lain. Penipu ! Ustaz apa macam tu ! ‘’ Huda mengetap bibirnya. Kedua pipinya merah padam. Jika Hafiz Mukhriz di hadapannya tika itu, mungkin saja mukanya di tampar-tampar oleh Huda yang sedang geram itu.
‘’ Istighfar ya habibati.. Jangan di persoalkan gelarannya itu. Bukan gelaran yang menandakan seseorang itu wara’, tetapi dengan ‘amal orang yang a’limlah yang dapat menjamin kewarakan seseorang itu. Ustaz atau bukan ustaz, mereka tetap manusia biasa. Tidak lari dari membuat kesilapan. Jangan di hukum silap mereka, sebaiknya kita mendoa’kan keampunan Allah untuk mereka. ‘’ Setiap kata yang keluar dari mulut Khaulah ibarat penawar kepada racun yang di telan Huda. Hatinya kembali tenang.
***
‘’ Nombor siapa ni.... Nur Huda? ‘’ tanya Asyraf Yusuf sambil menunjukkan cebisan kertas yang terselit di dalam bukunya kepada ‘Ammar Zulkarnain. Sedikit bingung dirinya ketika itu.
‘’ Aku kenal perempuan ni.. sekelas dengan aku. Memang sengaja dia letakkan nombor telefon dia kat dalam buku kau tu. Aku nampak masa kita dekat library tadi.. ‘’ ‘Ammar Zulkarnain tersengih sambil memperkemaskan tali lehernya. Melihat dahi sahabatnya yang berkerut-kerut, dia tahu Asyraf Yusuf pasti tidak senang hati.
Dia juga tahu sahabatnya itu menjadi rebutan ribuan gadis yang ingin menjadikan diri mereka isteri kepada seorang hujjatul Islam seperti Imam Ghazali, iaitu Asyraf Yusuf bin Haji Kamaruzzaman. Seorang yang terdidik dengan ilmu agama dan di besarkan dalam keluarga yang berada, ayahnya seorang pendakwah dan pemilik syarikat Dakwahteam-Consultancy and Training Sdn Bhd. Anak sulung dari 6 orang adik-beradik menjadikan dirinya lebih bertanggungjawab dan sangat teliti akan apa yang di lakukannya. Dia telah menghafaz al-Quran seawal usia 15 tahun, dan sangat berpengetahuan luas dalam ilmu agama. Dia seorang yang sangat menjaga akan ibadahnya. Setiap saat di asah imannya, dan sangat suka membaca. Hebat berhujah, dan tidak akan berkata sesuatu jika dirinya belum a’lim terhadap sesuatu ilmu itu. Kemampuannya itu telah mengangkatnya menjadi Imam Besar sejurus selepas dirinya tamat pembelajaran di Tingkatan 5.
‘’ Kesian perempuan ni. Bawa aku jumpa dia.... ‘’ Asyraf Yusuf bersuara lemah. Bukan kali pertama dirinya di timpa kejadian ‘bagi number phone’ ini, tetapi sudah banyak kali. Dan itulah perkara yang sangat menyedihkan hatinya.
Mengapa perempuan sekarang sudah tidak mahal lagi? Mana pergi malu mereka? Adakah mereka tidak tahu, dari rahim mereka nanti akan lahir pemegang masa hadapan dunia? Mengapa di biarkan diri mereka rosak? Mengapa mereka tidak mahalkan diri mereka? Asyraf Yusuf runsing. Soalan-soalan sebegitu selalu berlegar-legar dalam kotak fikirannya. Menjadikan dirinya bertambah resah dan tidak tentu arah mencari jawapan bagi setiap soalan itu.
***
‘’ Assalamua’laykum.. Kamu Nur Huda kan?’’ Asyraf Yusuf menyapa perempuan bertudung hijau itu. Dari suaranya saja, Huda sudah kenal siapa yang menegurnya itu. Huda menoleh sambil membetulkan tudung.
‘’ Wa’alaykumussalaam.. Ya, saya Huda. Ada apa ye? ‘’ lembut suara Huda sedikit pun tidak mencairkan hati lelakinya. Asyraf Yusuf seorang yang sangat menjaga hatinya, agar dirinya tidak tunduk dek nafsu semata-mata.
‘’ Kenapa kamu bagi saya nombor telefon kamu? ‘’ tanya Asyraf Yusuf straight to the point. Tidak suka perbualan yang meleret-leret, dia hanya fokus pada important point yang telah membawa dirinya berjumpa dengan gadis kecil molek bernama Huda.
‘’ Err.. itu bukan nombor saya, tu nombor ibu saya. ‘’ Huda cuba berdalih.
‘’ Tak kisahlah, sama ada ni nombor kamu atau ibu kamu.. saya musykil kenapa kamu bagi dekat saya? Saya ni seorang yang mementingkan keperluan dari kemahuan. Saya tak nampak apa-apa kepentingan pun jika saya call nombor ni. Rasanya, nombor ni memang tak perlu bagi dekat saya. ‘’ Asyraf Yusuf menegaskan pendiriannya. Melihat Huda yang terdiam kaku, Asyraf Yusuf menyambung katanya.
‘’ Saya harap kamu berani bagi nombor telefon ni dekat saya je lah, dan orang akhir yang kamu bagi adalah saya. Sebab, saya tak akan call nombor ni. ‘’ Mendengar saja itu, telinga Huda berasap. Memang amat pantang jika ada yang merendah-rendahkan dirinya.
‘’ Saya bagi nombor saya ni dekat kamu je tau.. Saya bukan murah sangat. Ingat senang-senang je ke saya nak bagi nombor sendiri dekat orang lain. Lantak la kamu nak kata apa, saya tak kisah. “ Huda mencuka. Hampir saja di hempas buku yang di pegangnya itu.
‘’ Allah.. perempuan ini sudah hilang malunya ya Allah.’’ Bisik hati Asyraf Yusuf. Sedih. Dia mula melangkah meninggalkan Huda dengan kemarahannya itu. Kerana baginya tidak ada guna meneruskan perbualan dalam keadaan emosi yang tidak stabil seperti itu.
***
‘’ Perempuan ni mahal.. Jadi, mahalkanlah diri kamu.’’ Huda menakup mukanya. Sebaris kata Asyraf Yusuf sebelum meninggalkannya petang tadi benar-benar menyentap jiwanya.
Huda melihat mukanya di cermin. Kulit sawo matang yang mulus, kening tebal yang bersambung dan bibir merah semulajadi menjadikan dirinya di gilai ramai lelaki. Namun, Huda bukanlah seorang gadis yang melayan saja mana-mana lelaki. Dia masih tahu jaga harga dirinya. Cuma cara dia menjaga dirinya itu silap. Dengan berhubungan dengan Hafiz Mukhriz, dia fikir dirinya telah berubah baik sedangkan perubahannya itu tidak ikhlas kerana Allah. Dia fikir dengan memberikan nombor telefonnya, Asyraf Yusuf akan menghubunginya dan seterusnya mereka akan menjalinkan hubungan dan saling mengingatkan. Namun, sangkaannya salah. Asyraf Yusuf menolaknya secara terang-terangan, tidak seperti Hafiz Mukhriz yang memulakan perkenalan.
‘’ Mahalkah aku?... ‘’ Masih menatap mukanya di cermin, Huda mengulangi pertanyaan itu. Air mata yang mengalir laju membuatkan cerminan dirinya yang berusia 19 tahun itu menjadi kabur. Huda mengomel sendirian sambil mematahkan simcardnya. Asyraf Yusuf seperti telah menyuntik sesuatu ubat yang menyedarkan dirinya. Ubat itu adalah kata-katanya... Ya ! Itulah ubat yang telah memahalkan dirinya.
Perempuan sangat berharga. Perempuan yang sedar dirinya berharga akan mencintai dirinya sendiri. Siapakah perempuan yang mencintai dirinya sendiri? Mereka itulah perempuan-perempuan berakhlak yang menyejukkan mata. Perempuan-perempuan pemalu yang menyenangkan jiwa. Perempuan-perempuan yang menutup aurat dengan sempurna. Dan, perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulannya.
Perempuan yang benar-benar mencintai dirinya sendiri akan mempersiapkan diri dengan keimanan dan ketaatan untuk menggoncang masa hadapan, bukan dengan kehancuran dan kerosakan !
Perempuan yang sedar dirinya berharga, tidak akan murahkan dirinya !
‘’ Ya Allah, mahalkan aku. Mahalkan aku... mahalkan aku ya Allah ! ‘’ tangisan Huda memecahkan suasana sunyi pada malam itu.
***
‘Ammar Zulkarnain mengesat peluhnya. Debarannya tadi sudah hilang hanya dengan sekali lafaz sahaja.
‘’ Alhamdulillah.. mabruk ya akhi ! Jaga adik aku ni elok-elok tau. ‘’ gurau Asyraf Yusuf sambil menunjuk ke arah Nurul Fatihah. ‘Ammar Zulkarnain tersengih sambil mencuit pinggang Asyraf Yusuf. ‘’ Insha Allah.. adiknya sudah. Abangnya ni bila lagi? ‘’
‘’ Kalau jumpa jodohnya, sekarang ni jugak aku nikah..’’ Asyraf Yusuf ketawa sambil memeluk erat sahabatnya itu yang kini sudah menjadi adik iparnya.
‘’ Assalamua’laykum.. Alhamdulillah, tahniah ‘Ammar. ‘’ Satu suara menyapa, meleraikan pelukan mereka. Keduanya memandang ke arah seorang muslimah yang sangat cantik mengenakan jubah hitam dan berpurdah merah jambu itu.
‘’ Wa’alaykumussalaam.. Alhamdulillah, doa’kan kebahagiaan duniawi dan ukhrawi buat kami ye ukhti Huda. ‘’ kata ‘Ammar Zulkarnain, tersenyum. Huda mula menukar penampilannya sejak mereka di Tahun 3. Setelah 3 tahun menamatkan pengajian, Huda masih lagi istiqamah dengan penampilannya.
‘Ammar Zulkarnain menganggukkan kepala sambil matanya menjeling ke arah Asyraf Yusuf yang agak terpinga-pinga itu.
‘’ Nur Huda... ‘’ Bisik Asyraf Yusuf, sambil tersenyum sendiri.
***
Huda tidak lagi memikirkan apa-apa. Dia menerima sahaja lamaran dari lelaki yang tidak di kenalinya itu. Dengan melihat pakaian dan peribadi keluarga yang melamarnya itu melalui mata kasar, Huda yakin lelaki itu lahir dari keluarga yang beragama. Lelaki itu pasti mampu untuk menjaga dan memimpinnya kelak.
‘’ Huda dah tengok belum gambar bakal suami tu? ‘’ Mak Cik Normah menegur anak gadisnya yang sedang termenung itu. Huda tersenyum melihat ibunya. Sampul putih yang di berikan oleh bakal suaminya itu tidak pernah di buka. Walaupun sudah hampir dua minggu mereka bertunang, dia cuma tahu nama bakal suaminya sahaja. Dia redha dengan bakal suaminya, dan dia yakin dengan bakal Imam yang di pilihnya itu. Cukuplah perasaan yakin itu baginya. Huda pasrah.
Yusuf... Bukan, Asyraf Yusuf. Hatinya berkecai. Sekali lagi, Huda menangis. Sukar rasanya untuk dia menerima Yusuf sebagai suaminya. Pertemuan kali kedua dengan Asyraf Yusuf dua bulan yang lalu, telah mengikat jiwanya hanya untuk Asyraf Yusuf. Lelaki yang telah memahalkan dirinya.
*** Huda menunggu dengan penuh sabar di dalam bilik. Sambil telinganya mencuri dengar perkataan.... Sah ! Akadnya sah ! Huda tidak dapat menahan airmatanya yang semakin deras mengalir. Sedarlah dia bahawa dirinya kini sudah bergelar isteri kepada lelaki yang bernama Yusuf. Dia juga sedar perasaan cintanya perlu diberikan kepada lelaki itu sahaja.
Sedar kehadiran suaminya, Huda mengesat air matanya. Sedikit pun tidak di pandang wajah suaminya itu. Huda tidak kuat dan belum bersedia untuk melihatnya.
‘’ Kenapa kamu menangis? Apa kamu tidak redha dengan saya? ‘’ Suara itu membisik lembut di telinga Huda sambil memberikan sampul putih yang tidak pernah di bukanya itu. Huda masih lagi tertunduk kepalanya. Tangannya lemah membuka sampul putih itu.
‘’ Saat aku meninggalkan kamu dahulu, jiwaku menangis. Aku berpaling dari kamu, kerana aku belum kuat untuk memimpin kamu. Dalam tempoh itu, aku mencari kekuatan. Dan, kekuatan itu aku peroleh dengan doa’. Dan, doa’ itu tersemat rapi dalam setiap ibadahku. Kerana kekuatan itulah yang membawa diriku kepada kamu semula. Kini, dengan yakin aku melamar agama yang ada pada kamu. Seperti mana kamu yakin mencintai agama yang ada padaku tanpa melihat wajahku terlebih dahulu. Terima kasih kerana menerima lamaranku.
Bakal suamimu, Asyraf Yusuf. ‘’
‘’ Akulah Yusuf, suamimu. Lelaki sama yang telah memahalkan diri kamu. ‘’ Asyraf Yusuf tersenyum. Dahi isterinya itu di kucup mesra.
*** Suasana masjid yang dingin ketika itu menyenangkan lagi hati Huda.
Kandungannya yang berusia 3 bulan itu masih lagi di belai manja. Peristiwa bertahun-tahun yang lalu masih segar dalam ingatannya. Peristiwa yang benar-benar menyentap jiwanya. Huda tersenyum sendiri. Peristiwa itulah yang mengajarnya erti malu bagi seorang perempuan dan menemukannya dengan seorang lelaki yang hebat imannya. Tidak sabar rasanya hati menantikan kelahiran anak sulung kepada lelaki yang sangat di cintainya itu.
‘’ Ini amanah Allah.. nanti akan lahir seorang pejuang persis bapanya. ‘’ Huda membisik sambil tersenyum kemas.
‘’ Dan akan lahir seorang bidadari semahal ibunya.. ‘’ Imam Besar Masjid Al-Aziz itu mencelah sambil memicit manja hidung isterinya, Nur Huda Humaira’.
-TAMAT-
~Nur Yusuf Al-Quds Fillah 18-20 Jamadil Akhir 1432H 21-23 Mei 2011 Bilik, Rumah, Ipoh
Rujukan : Article ‘Motivasi : Perempuan’ by Hilal Asyraf of langitilahi.com
 |
*Kisah benar yang di olah sedikit. |
Labels: Sembang santai
|